PAS kecam tindakan umpan projek di Sungai Bakap

 


1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius tindakan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO yang menjanjikan pelaksanaan dua projek di DUN Sungai Bakap Pulau Pinang sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihanraya kecil DUN tersebut pada 6 Julai ini. Dua projek yang dijanjikan itu ialah mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan pembinaan sekolah tamil di Sungai Bakap.
2. Beliau dilaporkan berkata demikian dalam satu sidang media ketika hadir ke Majlis Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil, Sungai Bakap pada 2 Julai 2024.
3. PAS menyifatkan kenyataan ini sebagai satu rasuah terang-terangan dengan tujuan untuk mempengaruhi pengundi sekaligus sewajarnya diisytiharkan sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya. Tindakan ini juga merupakan satu tindakan terdesak oleh pihak kerajaan terutamanya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk memenangi pilihanraya kecil ini sekalipun terpaksa menodai lunas-lunas demokrasi.
4. PAS tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabuli undang-undang pilihanraya terutama menawarkan apa-apa tawaran dan projek dengan tujuan mempengaruhi pengundi.
‘MALAYSIA SEJAHTERA’
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan PAS Pusat.
Bertarikh : 4 Julai 2024



Catat Ulasan

0 Ulasan