Pemimpin politik zaman sekarang kena pandai baiki atap

Gambar: FB Azmin Ali (kiri) & FB Saifuddin Nasution Ismail (kanan).

Membaiki atap atau bumbung rumah penduduk yang rosak merupakan antara aktiviti popular yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik semasa musim kempen pilihan raya.

Sempena kempen PRK DUN Sungai Bakap, dua pemimpin kanan politik yang berlainan parti turut menyumbang masa dan tenaga untuk usaha murni itu.

Semalam, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali membaiki atap rumah Mohd Rabi Hashim di Kampung Kemboja, Sungai Kechil.

Semalam juga, Ketua Setiausaha PH merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menyertai aktiviti membaiki rumah anggota-anggota RELA di sekitar Sungai Bakap.

Sememangnya, tugas sebagai pemimpin politik kini semakin mencabar kerana mereka bukan sahaja perlu pandai berpidato atau berceramah.

Mereka juga perlu mempunyai pengetahuan dalam ilmu pertukangan khususnya pembaikan rumah dan atapnya.

Kalau tidak, sukar untuk mereka berkempen semasa musim pilihan raya sama ada untuk diri sendiri atau calon parti masing-masing.

Kegiatan membaiki atap memang wajar dipuji kerana rakyat yang menerima manfaatnya.

Sebaik-baiknya lakukanlah secara konsisten dan bukan semata-mata sebagai gimik meraih undi semasa kempen pilihan raya sahaja.

Budi baik dan keikhlasan pemimpin-pemimpin politik membantu rakyat yang susah pasti sentiasa dikenang walaupun selepas hayat tidak lagi dikandung badan. - TUKANG TULIS




Catat Ulasan

0 Ulasan