Tidak boleh tuju qunut nazilah sesama Islam - Mufti WP


Doa qunut nazilah tidak boleh dibacakan terhadap sesama umat Islam, kata Mufti Wilayah Persekutuan,   Datuk Dr Luqman Abdullah.

Menurut beliau, apatah lagi jika berlaku perselisihan dan pertelingkahan terutamanya dalam lapangan politik dan seumpamanya.

"Oleh itu, tindakan membaca doa qunut nazilah ke atas golongan Islam akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrem dan melampau dalam agama," katanya.

Luqman berkata demikian bagi menjawab kemusykilan berhubung perkara tersebut di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan pengamalan Rasulullah SAW dan para sahabat serta pandangan daripada para ulama, dapat dilihat dengan jelas bahawa doa qunut nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan golongan murtad sahaja serta tidak ke atas golongan umat Islam sesama sendiri.

Kelmarin, Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membaca doa qunut nazilah selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama enam bulan.

Bacaan doa qunut berkenaan dipimpin Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail di dalam Dewan Rakyat sebaik persidangan ditangguhkan untuk rehat.




Catat Ulasan

0 Ulasan