Anthony Loke anggap suara rakyat diperjuangkan Akmal 'low level'? - Pemuda UMNO

 


Exco Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan membidas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang didakwa menganggap suara rakyat yang diperjuangkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh sebagai 'taraf rendah'.

Berikut adalah hantaran Facebook beliau semalam:

Sebagai sebahagian daripada kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya ingin tegaskan bahawa kami tidak akan pernah gentar untuk menyuarakan kebenaran, walaupun ia melibatkan tokoh besar dalam kerajaan.

Kepentingan rakyat, agama Islam, bangsa Melayu, dan institusi Raja adalah prinsip asas yang tidak akan kami kompromi.

Di bawah kepimpinan YB Datuk Dr. Akmal Saleh, Pemuda UMNO kekal sebagai benteng yang tegas dan lantang dalam mempertahankan hak rakyat.

Bila YB Anthony Loke cuba memperlekehkan Ketua Pemuda kami sebagai “low level,” ia bukan sahaja tidak wajar, malah membuktikan beliau jauh dari realiti akar umbi. Apakah suara rakyat yang diperjuangkan YB Dr. Akmal dianggap “low level”?

Jika ya, ini menunjukkan pemimpin seperti beliau sudah lupa tanggungjawab sebenar sebagai pemimpin negara.

Kami di Pemuda UMNO tidak berpolitik untuk populariti. Kami bergerak untuk memastikan setiap isu sensitif, khususnya yang melibatkan agama, bangsa, dan kedaulatan negara, tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Bila YB Dr. Akmal menegur kenyataan YB Nga Kor Ming, ia adalah tindakan berprinsip, kerana kami tidak lupa bagaimana pentadbiran PH selama 22 bulan turut mencatat sejarah dengan pelbagai kelemahan dan skandal, termasuk isu terowong bawah laut Pulau Pinang dan banglo tanpa kolam renang.

Jika DAP mahu bercakap tentang “salah laku” kerajaan terdahulu, cerminlah diri dahulu. Jangan gunakan retorik lama untuk berlagak hero, kerana rakyat hari ini bijak menilai.

Saya tegaskan sekali lagi, Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri. Kami adalah suara rakyat dan akan terus menjadi mekanisme semak dan imbang yang kritis walaupun berada dalam kerajaan perpaduan.

Kami tidak tunduk kepada sesiapa kecuali prinsip perjuangan.

Inilah Pemuda UMNO – tegas, berani, dan sentiasa mendahulukan rakyat!


JIWA MERDEKA




Catat Ulasan

0 Ulasan