Gambar: Facebook |
Perikatan Nasional (PN) perlu mempertimbangkan dengan serius untuk meletakkan muka baharu selain Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri sekiranya mereka ingin kembali memerintah negara selepas PRU16.
Tidak dinafikan, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Presiden Bersatu mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam politik dan pentadbiran kerajaan.
Namun, langkah mengekalkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri hanya mengundang kritikan, khususnya daripada pihak yang berpendapat PN wajar membuka ruang kepada pemimpin muda yang lebih dinamik dan segar.
Strategi itu menunjukkan kurangnya usaha PN untuk memupuk pemimpin baharu. Kepimpinan Muhyiddin semasa pandemik COVID-19 dan krisis politik sering dipuji, tetapi pihak lain berpendapat rekod beliau tidak sepenuhnya bebas dari kelemahan.
Antaranya, tuduhan penyalahgunaan kuasa dan dasar-dasar ekonomi yang dianggap kurang berkesan. Isu-isu ini dilihat boleh melemahkan sokongan rakyat, khususnya golongan muda yang semakin kritikal terhadap kepimpinan lama.
Pemimpin muda dalam PN seperti Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dari PAS wajar diberi peluang untuk memimpin. Kepimpinan muda dianggap lebih dekat dengan aspirasi generasi baharu, terutamanya dalam isu ekonomi, teknologi, dan pembaharuan sosial.
Memberi ruang kepada muka baharu juga boleh mencerminkan PN sebagai gabungan yang progresif dan bersedia untuk melaksanakan perubahan, dan bukan sekadar bergantung kepada tokoh veteran.
Peremajaan semula parti merupakan antara kunci penting untuk memenangi hati pengundi, terutama nyadalam kalangan pengundi atas pagar dan generasi muda.
PN perlu menilai sama siapa yang bakal menjadi calon Perdana Menteri mereka menjelang PRU16 atau bakal berdepan risiko kempunan sekali lagi untuk kembali menjadi kerajaan.
0 Ulasan