Berikut adalah kenyataan media Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini:
PAS memandang serius kenyataan emosi dan melampau Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, yang menuduh PAS sebagai "sesat", "menyebar ajaran sesat", "menunggang agama", "merosakkan keharmonian masyarakat", dan "menyekat sambutan Krismas".
Tuduhan ini dipercayai timbul susulan teguran Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Hanif Jamaluddin, mengenai kehadiran orang Islam dalam majlis Krismas anjuran KPKT baru-baru ini.
Teguran tersebut disertai garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan 2005 dan Irsyad Hukum Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, yang menekankan syarat ketat penglibatan orang Islam dalam acara bukan Islam.
Garis panduan dan penjelasan hukum ini jelas bertujuan menjaga sensitiviti agama dan akidah umat Islam. Oleh itu, persoalan yang dibangkitkan Hanif wajar diberi perhatian secara cermat.
Namun, respons balas KPKT yang sepatutnya memberi pencerahan, malah menimbulkan polemik dan mengundang kritikan terhadap PAS.
Sejarah menunjukkan kementerian dan agensi kerajaan sebelum ini tidak pernah secara terbuka menganjurkan program keagamaan bukan Islam di premis kerajaan, apatah lagi melibatkan pegawai beragama Islam.
PAS menggesa KPKT lebih berhati-hati dalam isu melibatkan hukum-hakam agama untuk mengelakkan kesan buruk terhadap umat Islam dan keharmonian kaum.
Isu ini seharusnya terhenti di situ, tetapi kenyataan terbaru menteri berkenaan memperburuk keadaan.
PAS menyifatkan tindakan melampau Nga boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan perpaduan masyarakat, dan akan memikul tanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku kesan negatif daripada kenyataan tersebut.
Nga turut dituduh mencabar kuasa pihak berkuasa agama dan institusi raja-raja yang bertanggungjawab terhadap urusan Islam.
Dengan menggelar PAS "sesat" dan "menyebarkan ajaran sesat", beliau dianggap melanggar batasan kuasa serta melibatkan isu sensitif yang sepatutnya diputuskan oleh Majlis Fatwa atau institusi agama.
Tuduhan seperti ini, khususnya daripada seorang bukan Islam, mencabar peranan penting institusi agama di Malaysia.
Nga juga didakwa memfitnah PAS dengan menuduh parti itu menyekat sambutan Krismas dan melabelkan ucapan selamat PAS sempena Krismas sebagai "hipokrasi tertinggi".
PAS menegaskan bahawa ucapan tersebut telah lama diamalkan sebagai tanda penghormatan kepada kepelbagaian agama dan budaya di Malaysia.
Tuduhan tanpa bukti ini disifatkan sebagai fitnah jahat yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi pada musim perayaan yang sepatutnya mencerminkan keharmonian dan kesopanan.
Sehubungan itu, PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Nga atas tuduhan dan fitnah yang dilemparkan.
PAS menegaskan pentingnya menjaga adab dalam kenyataan umum, lebih-lebih lagi melibatkan isu agama yang sensitif, demi memelihara hubungan baik antara kaum dan agama di Malaysia.
0 Ulasan