Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyokong desakan Pemuda UMNO Sabah agar semua kes selepas 2018 melibatkan ahli politik termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digugurkan.
Menurut beliau, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, dakwaan tersebut dibuat secara tergesa-gesa selain berunsur dendam dan 'beracun'.
"Terutamanya kes kes tertangguh lama tanpa perbicaraan.
"Ia membazir sumber kerajaan dan hanya bermotif untuk memalukan, membina persepsi dan menyusahkan yang tertuduh," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Pada 21 Disember lalu, Pemuda UMNO Sabah menggesa pihak pendakwaan menarik balik segala kes didakwa di mahkamah ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikenali sebagai PH 1.0.
Ketuanya, Sufian Abdul Karim membuat desakan itu susulan kenyataan Anwar bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU 2018 adalah cacat memandangkan ia dibuat terburu-buru.
Anwar berkata demikian ketika mengulas pembebasan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang.
Mohd Puad menambah, perbicaraan kes anak tiri Najib, Riza Aziz tidak pernah berjalan satu hari pun sejak dia didakwa.
"Sebab itu bila beberapa kes yang melibatkan Najib, Rosmah, Riza dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digugurkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidaklah terkejut seperti mana mereka terkejut beruk apabila Tan Sri Tommy Thomas membatalkan kes Lim Guan Engyang sedang dalam perbicaraan.
"Keluarga Najib amat gentleman. Tak lari. Riza Azis duduk luar negara tapi balik untuk hadapi pertuduhan pada 14 Mei 2020.
"Culprit sebenar seperti Jho Low masih bebas dan menantu yang lari juga masih bebas," jelasnya.
0 Ulasan