Takiyuddin minta usul titah adendum dibahas di Dewan Rakyat

 



Berikut adalah teks usul berhubung titah adendum yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini:

Tarikh: 09 Disember 2024

YB. TAN SRI DATO’ (DR) JOHARI BIN ABDUL,
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia,
Jalan Parlimen,
50680 Kuala Lumpur.

YB. Tan Sri,

PER: USUL PERKARA TERTENTU BERKEPENTINGAN ORANG RAMAI YANG BERKEHENDAK DISEGERAKAN DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18 (1) DAN 18 (2), PERATURAN-PERATURAN MAJLIS MESYUARAT DEWAN RAKYAT.

Dengan hormat dan takzimnya saya merujuk kepada perkara di atas.

Saya, TAKIYUDDIN BIN HASSAN, Ahli Parlimen Kota Bharu, dengan ini memberikan pemberitahu di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa saya ingin memohon kebenaran di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk merundingkan perkara tertentu mengenai kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.

Perkara yang hendak dirundingkan tersebut adalah seperti di dalam teks yang akan saya nyatakan di sini selari dengan kehendak Peraturan 18 (2) iaitu seperti berikut:

Terdapat suatu Titah Addendum bertarikh 29hb Januari 2024 yang ditujukan kepada Peguam Negara Malaysia telah tular di media-media sosial.

Titah Addendum itu adalah tambahan kepada keputusan terhadap Petisyen Pengampunan Dato’ Sri Mohd Najib yang menitahkan supaya beliau menjalani baki hukuman menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest).

Dato’ Mohamad Nizar bin Mohd Najib telah mengikrarkan Afidavit menyatakan pada 17hb Ogos 2024 beliau dikurniakan oleh KDYMM YDPA ke-XVI yang juga KDYMM Sultan Pahang satu salinan Titah Addendum seperti yang diserahkan Baginda kepada Lembaga Pengampunan pada 29hb Januari 2024 di Istana Negara.

Pada 2hb Disember 2024 Dato’ Mohamad Nizar telah diperkenankan oleh KDYMM Sultan Pahang untuk menggunakan dokumen tersebut untuk tujuan di mahkamah.

Pihak Kerajaan selama ini tidak pernah, secara jelas dan tanpa was-was, menafikan mahupun mengesahkan kewujudan Titah tersebut apabila disoal sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Rakyat.

Titah Perintah KDYMM YDPA yang dibuat pada menjalankan kuasa Perlembagaan Baginda mesti dilaksanakan oleh pihak Kerajaan. Kegagalan berbuat demikian merupakan suatu penderhakaan dan juga penganaiayaan terhadap seorang yang berkaitan dengannya, seumpama dalam kes ini Dato’ Sri Najib yang tidak sepatutnya lagi menjalani hukuman di penjara.

Perkara ini PERKARA TERTENTU kerana ia keputusan Petisyen Pengampunan Dato’ Sri Najib dan pelaksanaan Titah Perintah KDYMM YDPA mengenainya.

Perkara ini BERKEPENTINGAN ORANG AWAM kerana kegagalan melaksanakannya apa-apa titah KDYMM YDPA merupakan satu penderhakaan yang boleh mengakibatkan krisis Perlembagaan.

Perkara ini PERLU DISEGERAKAN kerana Dato’ Sri Najib tidak sepatut dipenjarakan lagi sebaliknya ditahan di rumah selari dengan Titah tersebut, ia suatu penahanan salah dan tidak sah di sisi undang-undang, ia perlu dihentikan segera.

Dengan itu, saya pohon kebenaran di bawah Peraturan 18 (1) supaya Usul ini dibenarkan, yakni:

"BAHAWA DEWAN INI MERUNDINGKAN TENTANG WUJUD ATAU TIDAKNYA TITAH ADDENDUM YANG DIBUAT OLEH KDYMM YDPA KE-XVI DI MANA DATO’ SRI NAJIB DITITAHKAN MENJALANI BAKI HUKUMANNYA MENERUSI PENAHANAN DALAM RUMAH DAN PENDIRIAN KERAJAAN MENGENAI PELAKSANAAN TITAH TERSEBUT.”

(295 patah perkataan)

Semoga permohonan saya mendapat pertimbangan sewajarnya daripada YB. Tan Sri serta keizinan daripada Majlis Mesyuarat demi kepentingan rakyat amnya. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kerjasama dan perhatian YB. Tan Sri terhadap usul ini.

Sekian, terima kasih.

Dengan Hormatnya,

DATUK SERI TAKIYUDDIN BIN HASSAN
AHLI PARLIMEN KOTA BHARU

LAMPIRAN:

SENARAI AHLI PARLIMEN YANG MENYOKONG USUL YANG DIKEMUKAKAN OLEH AHLI PARLIMEN KOTA BHARU DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18 (1) DAN 18 (2), PERATURAN-PERATURAN MAJLIS MESYUARAT DEWAN RAKYAT









BACALAH LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan