![]() |
| Gambar: FB Ng Suee Lim |
Selepas 20 tahun tidak berubah, kadar cukai taksiran di Selangor akan dinaikkan sehingga 25 peratus mulai 1 Januari depan, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim.
Memetik laporan media, beliau berkata, penilaian semula cukai itu diluluskan oleh kerajaan negeri setelah pelaksanaannya ditangguhkan pada 2019.
Menurut Suee Lim, langkah itu diambil untuk mengawal impak penilaian semula cukai taksiran, memandangkan kebimbangan rakyat mengenai perkara tersebut.
“Dengan meluluskan kenaikan cukai sehingga 25 peratus, pemilik harta dapat menikmati diskaun 75 peratus bagi kenaikan yang melebihi 100 peratus.
“Sebagai contoh, jika cukai taksiran bagi rumah pangsapuri adalah RM100 setahun pada 2024, selepas penilaian semula, jumlah itu akan menjadi RM200. Namun, melalui kawalan kenaikan taksiran sehingga 25 peratus yang ditetapkan kerajaan negeri, jumlah yang perlu dibayar pada tahun depan hanya RM125 setahun, bukan RM200,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam, hari ini.
Walau bagaimanapun, Suee Lim menjelaskan, bagi bangunan yang mengalami perubahan fungsi atau tapak, penilaian akan dibuat berdasarkan nilai tapak dan tiada pengurangan cukai diberikan.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri turut mengecualikan cukai taksiran untuk pemilik rumah kos rendah melibatkan lebih 300,000 pegangan, yang berjumlah kutipan RM60 juta.
“Kerajaan negeri juga memberikan pengecualian cukai taksiran secara bersasar kepada penduduk kampung tradisional dan kampung baru yang memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Setakat ini, hampir 3,000 penduduk telah menerima pengecualian tersebut, dan kami menyasarkan jumlah ini meningkat kepada 5,000 pemilik,” ujarnya.
Tambah beliau, penilaian baharu ini selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], yang menyatakan bahawa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan senarai nilaian baharu setiap lima tahun.
Katanya, senarai nilaian sedia ada Majlis Daerah Sabak Bernam (MBSB) masih menggunakan nilai sewaan 1986, iaitu 38 tahun yang lalu, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) selama 37 tahun, manakala sembilan PBT lain melebihi 20 tahun.
“Melalui nilai baharu ini, 11 PBT di Selangor akan memperoleh lebihan kutipan cukai taksiran sebanyak RM355 juta selepas kenaikan 25 peratus," katanya.
Suee Lim berkata, dana tersebut boleh digunakan untuk menaik taraf infrastruktur seperti longkang dan dewan, selain menampung peningkatan kos pengurusan kutipan sampah serta keperluan lain.

0 Ulasan