Victor minta maaf insiden Jalur Gemilang terbalik pada jersi Lee Zii Jia

 


Victor Malaysia meminta maaf atas insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik pada jersi pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, semalam.

Syarikat yang menaja peralatan Zii Jia itu berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan tiada niat menimbulkan kontroversi.

Victor Malaysia juga memberi jaminan akan melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan insiden serupa tidak akan berulang.

"Kami dengan rendah hati memohon maaf kepada semua peminat badminton Malaysia dan Lee Zii Jia atas kesilapan yang tertera pada baju jersi ketika Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, hari ini.

"Kesilapan ini tidak menggambarkan rasa hormat kami yang mendalam kami terhadap Malaysia, simbol kebangsaannya, atau kebanggaan dan kehormatan mewakili negara di persada antarabangsa.

"Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti, dan kami amat kesal dengan sebarang rasa tidak hormat yang tidak disengajakan disebabkan oleh kesilapan ini.

"Sekali lagi, kami memohon maaf yang setulus hati dan menghargai pertimbangan anda," kata Victor dalam kenyataan yang disiarkan melalui Instagram Story semalam.

Ketika perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen dapat dilihat dengan jelas melalui televisyen Zii Jia memakai Jalur Gemilang terbalik di bahagian kiri jersinya.

Pemain ranking kelapan dunia itu seperti diketahui adalah pemain profesional dan jerainya tidak dibekalkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan