Perlekeh peruntukan untuk Islam, Pemuda UMNO desak MCA Johor minta maaf

 


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, mendesak MCA Johor memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam atas hantaran di Facebook rasmi mereka yang didakwa memperlekehkan peruntukan kerajaan untuk pembangunan al-Quran dan bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).  

Menurut beliau, hantaran tersebut seolah-olah mempertikaikan usaha kerajaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dibandingkan dengan isu tol sempena Tahun Baharu Cina.  

“Apakah niat di sebalik kenyataan ini? Adakah ia bertujuan membangkitkan kemarahan rakyat? Jika kamu marah kerana tiada tol percuma, itu masalah kamu, tetapi jangan pertikaikan bantuan kepada umat Islam! Itu namanya bodoh dan bangang!  

“Kami desak MCA Johor untuk memohon maaf dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, laporan polis akan kami lakukan. Pemikiran seperti ini yang seolah-olah memperlekehkan agama Islam perlu dihentikan. Kami akan lawan habis-habisan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.



Sementara itu, MCA Johor tampil memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas hantaran kontroversi tersebut, sambil menjelaskan ia berpunca daripada kesilapan seorang pentadbir lama Facebook mereka.  

Dalam kenyataan media, MCA Johor menyatakan hantaran itu dilakukan tanpa kebenaran pemimpin utama parti dan tidak mencerminkan pendirian rasmi mereka.  

“Pentadbir tersebut, yang sudah lama bersara daripada pejabat MCA Johor, mengakui tersilap berkongsi status pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin MCA.  

“Pentadbir itu telah dikeluarkan daripada memiliki akses kepada Facebook MCA Johor, dan kini akaun tersebut dikendalikan oleh pentadbir baharu. Hantaran tersebut juga telah diturunkan serta-merta selepas aduan diterima,” jelasnya.

MCA Johor menegaskan bahawa mereka tidak pernah berniat untuk menggores hati atau memperlekehkan agama Islam atau mana-mana agama di Malaysia.  

“Kami memohon maaf sekali lagi kepada seluruh umat Islam di Malaysia atas apa yang berlaku dan akan memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan,” tambahnya.  

Kejadian ini mencetuskan perdebatan di kalangan netizen, dengan sesetengah pihak menganggap permohonan maaf itu sebagai langkah yang wajar, manakala yang lain mendesak tindakan lebih tegas bagi mengelakkan insiden serupa berulang. 


BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan