AS ibarat perompak mahu ambil alih Gaza - PAS

 


PAS mengecam sekeras-kerasnya cadangan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mencadangkan negara itu mengambil alih dan memiliki Gaza sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan semula.  

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan itu adalah satu manifestasi keangkuhan imperialisme dan penghinaan terhadap kedaulatan rakyat Palestin yang sekian lama tertindas.  

“Ini bukan sekadar tindakan melulu Trump, tetapi menunjukkan keangkuhan luar biasa. AS yang membekalkan senjata kepada Israel dan membiayai penindasan rakyat Palestin kini mahu muncul sebagai ‘pemilik’ baharu Gaza.  

"Ia ibarat pencuri yang merompak sebuah rumah dan kemudian menuntut hak untuk mengubahsuainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Menurut Ahmad Fadhli, kenyataan Trump itu hanya mencerminkan dasar luar Amerika Syarikat yang tidak pernah berubah dalam menyokong agenda Zionis dan menghalang Palestin daripada mencapai kebebasan sebenar.  

“Adakah Trump menyangka rakyat Palestin yang telah menderita akibat pendudukan kejam dan pengeboman tanpa henti akan menerima Amerika sebagai tuan baharu mereka?  

"Selepas membiayai pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza, adakah dunia akan melihat Washington sebagai penyelamat yang baik hati?” katanya.  

PAS turut menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak memerlukan penjajah baharu, sebaliknya mereka memerlukan keadilan, hak menentukan nasib sendiri, serta pengakhiran kepada pendudukan dan dasar apartheid Israel.  

Ahmad Fadhli turut menyatakan simpati kepada rakyat AS yang sekali lagi terpaksa berhadapan dengan pemimpin yang sedia menyeret negara itu ke dalam konflik antarabangsa yang tidak perlu.  

“Washington terus mengejar ilusi penguasaan global, membuang wang ke dalam peperangan yang hanya membawa kepada lebih banyak permusuhan serta merosakkan reputasi negara itu di pentas dunia.  

"Cukup dengan kepura-puraan, cukup dengan fantasi kolonial. Palestin akan bebas, insya-Allah,” katanya.


BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan