Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah lebih baik berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kerana ia tidak menekan rakyat.
Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, GST terbukti sebagai sistem percukaian yang lebih cekap dan adil, berbanding SST yang dilaksanakan sekarang.
Menurut beliau, pemansuhan GST dan pengenalan semula SST telah menyebabkan hasil cukai kerajaan berkurang, sekali gus memaksa kerajaan memperkenalkan pelbagai cukai baharu serta mengurangkan subsidi kepada rakyat.
“Hakikatnya, walaupun SST dikatakan tidak membebankan rakyat secara langsung, ia tetap memberi kesan kepada kos sara hidup. Kekurangan hasil cukai menyebabkan kerajaan terpaksa mengurangkan subsidi bahan api, tenaga, dan barangan asas, yang akhirnya memberi impak kepada rakyat secara tidak langsung,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Hafiz turut menolak dakwaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) kononnya SST lebih mesra rakyat, sambil menyatakan bahawa pemansuhan GST tidak membawa kepada penurunan harga barang seperti yang diharapkan.
“Apabila GST dihapuskan, harga barang tidak turun kerana faktor lain seperti kadar tukaran mata wang, kos import, dan pengurangan subsidi.
"Sebaliknya, kerajaan terpaksa memperkenalkan pelbagai cukai baharu seperti cukai barangan bernilai tinggi dan kenaikan duti eksais bagi menampung defisit hasil,” katanya.
Beliau menambah, GST lebih telus dan stabil kerana menggunakan sistem cukai input-output yang mengurangkan risiko pengelakan cukai, berbeza dengan SST yang lebih mudah dimanipulasi oleh peniaga.
Hafiz mencadangkan agar kerajaan menilai semula keberkesanan SST dan mempertimbangkan untuk mengembalikan GST, dengan penambahbaikan yang sesuai jika perlu.
“Kita boleh berdebat dari sudut teori, tetapi lebih baik kita turun ke lapangan dan tanya sendiri rakyat, adakah mereka rasa lebih baik di bawah SST atau ketika GST dilaksanakan?” katanya.
![]() |
Check out Lempoyang oleh Fadzilah Kamsah Tok Abah for RM49.00 - RM220.00. Get it on Shopee now! https://s.shopee.com.my/9f5mOMAWC9?share_channel_code=1 |
0 Ulasan