Puad minta kerajaan jelaskan dakwaan peguam 1MDB dapat bayaran RM300 juta

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, meminta kerajaan memberi penjelasan berhubung dakwaan bahawa peguam 1MDB menerima bayaran sebanyak RM300 juta.  

Beliau berkata, sehingga kini masih tiada sebarang penjelasan berhubung perkara itu meskipun ia didedahkan oleh seorang pegawai 1MDB ketika memberi keterangan di mahkamah tahun lalu.  

"Peguam Haniff Kathri Abdullah sendiri telah mendesak kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, supaya mendedahkan nama peguam yang menerima bayaran tersebut. 

"Kos itu dibayar sejak 2019, tetapi sehingga kini masih tiada penjelasan," katanya.  

Menurutnya, kebimbangan utama adalah kemungkinan ada pihak yang mendapat keuntungan daripada bayaran tersebut, sedangkan 1MDB sendiri tidak memperoleh sebarang manfaat.  

"Lebih membimbangkan, jika wang itu digunakan sebagai dana politik untuk mana-mana parti," katanya.  

Sehubungan itu, Mohd Puad turut meminta kerajaan mendedahkan sama ada terdapat pelantikan konsultan bagi kes 1MDB dan berapa jumlah bayaran yang telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut.  

"Saya berharap ahli-ahli Parlimen akan membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara," katanya.


BACA LAGI





Catat Ulasan

0 Ulasan