Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta semua pihak agar tidak mempolemikkan penganjuran Majlis Jalinan Muhibbah Madani sempena Tahun Baharu Cina 2025 yang dijadual berlangsung pada 16 Februari ini di Dewan Hokkien, Klang, Selangor.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, program tersebut merupakan inisiatif tahunan pihaknya bagi menyantuni masyarakat yang menyambut Tahun Baharu Cina selain memperkukuh ikatan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
“Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO Islam seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Hidayah Centre Foundation (HCF) serta pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, usaha seperti ini adalah sebahagian daripada peranan agensi hal ehwal Islam dalam menyebarkan mesej rahmah dan keharmonian kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak menyokong inisiatif yang dapat memperkukuh keharmonian negara selaras dengan konsep Malaysia Madani.
0 Ulasan