UMNO menegaskan bahawa tiada keperluan bagi kerajaan untuk mewujudkan jawatan menteri atau kementerian khusus berkaitan masyarakat bukan Islam.
Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, parti itu menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebajikan semua rakyat Malaysia, termasuk masyarakat bukan Islam, dalam mengamalkan agama dan budaya mereka tanpa halangan.
“Prinsip ini telah lama menjadi asas kepada keharmonian dan kesejahteraan negara.
"Selain itu, tradisi kabinet Malaysia yang dianggotai oleh pemimpin daripada pelbagai kaum sudah menjamin bahawa segala masalah rakyat dapat disuarakan oleh wakil masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, UMNO berpandangan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui di Dewan Rakyat berkaitan isu ini seharusnya ditolak sepenuhnya kerana hanya akan mencetuskan polemik serta mendatangkan kemarahan masyarakat Melayu Islam terhadap kerajaan.
Jelasnya, setiap kenyataan dan pandangan yang melibatkan perubahan kepada dasar serta polisi sedia ada perlu mengambil kira peruntukan dalam perlembagaan selain memastikan kestabilan dan keharmonian yang telah dipupuk oleh pengasas negara sejak sekian lama.
0 Ulasan