![]() |
Tajuddin Mohd Rasdi |
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh secara sinis mencadangkan agar pensyarah seni bina, Dr. Tajuddin Mohd. Rasdi diberi "Anugerah Si Kitol" susulan kenyataannya yang didakwa menghina kedudukan politik Melayu.
Dalam satu hantaran di media sosial, Dr. Akmal menegaskan bahawa individu seperti Tajuddin yang membiarkan bangsa dan agama dihina adalah punca kelemahan politik Melayu.
"Yang menjatuhkan kedudukan Melayu dalam politik ini adalah orang Melayu yang menjadi Si Kitol. Yang berdiam diri ketika bangsa dan agama dihina. Teruskan menjadi Si Kitol.
"Jika ada Anugerah Si Kitol, saya nak mencadangkan anugerah itu untuk diberikan kepada kamu. Teruskan menjilat," katanya.
Kenyataan Dr. Akmal itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Tajuddin yang mendakwa beliau telah menjatuhkan kedudukan politik Melayu ke tahap paling rendah dengan tindakannya.
Semalam, Tajuddin dipetik Malaysiakini sebagai berkata, Dr. Akmal telah mencapai sesuatu yang dianggap mustahil dalam politik Melayu.
"Selepas 30 tahun meneliti dunia politik Melayu, saya fikir saya telah menyaksikan ahli politik dan pemimpin Melayu yang tidak senonoh.
"Tetapi Akmal dapat hadiah utama," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut membidas Tajuddin, menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas dan mencemarkan maruah ahli akademik.
"Jika dibuat perbandingan antara Tajuddin dengan penganalisis politik lain seperti Dr. Awang Azman Awang Pawi, Dr. Azmi Hassan dan juga Dr. Sivamurugan Pandian memang jauh macam langit dengan bumi.
"Tidak salah profesor bidang seni bina Tajuddin) menjadi penganalisis politik. Tetapi biarlah analitikal dan bebas. Seorang ahli akademik tidak patut melabel orang lain jika mahu membuat analisis akademik," katanya.
Menurut Mohd. Puad, tindakan Tajuddin mempertikaikan gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada Dr. Akmal oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka juga tidak wajar.
"Dia menghina rakyat yang memilih Dr. Akmal dan juga TYT Melaka yang menganugerahkan gelaran Datuk itu.
"Bukan Akmal yang menjatuhkan imej politik Melayu, sebaliknya Tajuddin menjatuhkan maruah ahli akademik," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa maruah politik Melayu bukan dijatuhkan oleh Pemuda UMNO, sebaliknya oleh pemimpin yang tidak menunaikan janji dan gagal melaksanakan amanah.
"Nasihat saya kepada Tajuddin, jangan tutup mata sebelah. Jangan buat analisis cetek dan elakkan diri daripada dituduh pencacai politik," katanya.
0 Ulasan