Mengapa pemimpin DAP pertahan KWSP dalam isu jual beli saham MAHB?

 


Penganalisis politik, Lim Sian See mempersoalkan tindakan pemimpin-pemimpin DAP yang bersungguh-sungguh mempertahankan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam isu jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), walaupun urus niaga itu mengakibatkan kerugian besar.  

Menurutnya, bukan sahaja Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin yang mempertahankan tindakan KWSP, tetapi beberapa pemimpin lain turut berbuat demikian, seolah-olah cuba menafikan kerugian yang dialami dana pencarum.  

"Rupanya bukan Ahli Parlimen Kampar seorang saja, tetapi pemimpin-pemimpin DAP lain pun turut mempertahankan tindakan KWSP yang jual murah, kemudian beli balik saham MAHB, menyebabkan kerugian antara RM540 juta hingga RM770 juta.  

"Kenapa pula DAP begitu bersungguh-sungguh mempertahankan isu ini? Tiada siapa pun yang pernah tuduh DAP terlibat.  

"Angin tak tiup, hujan tak turun, tapi tiba-tiba mereka beramai-ramai bermati-matian menegakkan benang yang basah dalam isu yang melibatkan kerugian nyata simpanan usia tua rakyat," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.  

Sian See turut menegaskan bahawa hanya DAP yang menyatakan KWSP tidak mengalami kerugian dalam urus niaga tersebut, sedangkan kebanyakan pihak lain mengakui sebaliknya.  

"DAP sahaja yang kata KWSP tak rugi, tetapi semua orang lain kata rugi. Kenyataan KWSP sendiri pun tak nafikan ada kerugian.  

"Silap-silap, orang ramai mula curiga dan syak ada sesuatu, sendiri juga yang susah nanti," katanya.  

Pada 13 Februari lalu, Chong Zhemin mengadakan sidang media di Parlimen bagi menjelaskan bahawa KWSP tidak mengalami kerugian dalam urus niaga saham MAHB. 

Beliau menegaskan bahawa penjualan saham pada harga lebih rendah sebelum dibeli semula pada nilai lebih tinggi adalah sebahagian daripada strategi pelaburan KWSP yang dilakukan mengikut pertimbangan komersial.  

Bagaimanapun, kenyataan itu mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak yang mendakwa tindakan KWSP itu tidak berasaskan kepentingan pencarum, sebaliknya menyebabkan dana rakyat mengalami kerugian besar.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan