Prestasi ekonomi hebat 2024 bukti keberkesanan dasar Ekonomi Madani - PMX

 

Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

Prestasi ekonomi yang hebat pada 2024 membuktikan keberkesanan dasar Ekonomi Madani yang diperkenalkan kerajaan dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus pada 2024, mengatasi unjuran awal antara 4 hingga 5 peratus serta jauh lebih tinggi berbanding 3.6 peratus pada 2023.  

"Alhamdulillah, ekonomi Malaysia mencatat prestasi hebat dengan pertumbuhan KDNK 5.1 peratus pada 2024, melebihi unjuran asal dan melonjak berbanding 3.6 peratus tahun sebelumnya.  

"Lebih membanggakan, Kerajaan Madani turut berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 4.1 peratus, lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus," katanya dalam hantaran Facebook semalam.



Anwar menjelaskan, pertumbuhan kukuh ini didorong oleh peningkatan pelaburan yang melonjak 12 peratus, iaitu tertinggi dalam tempoh 12 tahun, selain eksport yang terus berkembang terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).  

"Pemulihan sektor pelancongan serta pelaksanaan pantas projek infrastruktur utama turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara," ujarnya.  

Menurut Perdana Menteri, pencapaian ini membuktikan dasar Ekonomi Madani berjaya menarik keyakinan pelabur dan meletakkan ekonomi negara pada landasan yang kukuh.  

"Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus bekerja untuk mengekalkan momentum positif ini dan meningkatkan lagi prestasi pada tahun ini demi kemakmuran rakyat," katanya.





BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan