Penganalisis politik, Lim Sian See mempersoalkan kegagalan Kerajaan Madani dalam menangani isu harga santan dan kelapa yang terus meningkat menjelang Ramadan, walaupun pelbagai pihak telah menyuarakan kebimbangan mereka sejak sekian lama.
Menurutnya, setiap kali tiba musim perayaan, masalah kenaikan harga barangan asas berulang, tetapi kerajaan masih gagal mencari penyelesaian yang berkesan.
"Semakin dekat Ramadan, harga santan dan kelapa makin menggila, dan seperti biasa, kerajaan masih gagal mencari penyelesaian," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sian See turut memetik kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan kerajaan dalam mengawal harga bahan makanan penting ini.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) juga mengesahkan bahawa harga santan segar sudah lama meningkat dan menggesa kerajaan segera mengambil tindakan, termasuk langkah mengimport kelapa bagi menstabilkan harga.
"Masalah ini bukan baru pun, dah lama rakyat mengeluh. Tiga bulan lepas, menteri siap bagi jaminan, tapi sampai sekarang hasilnya masih ghaib. Apa cerita?" soalnya.
Beliau berkata, rakyat kini semakin hilang kepercayaan apabila janji-janji kerajaan tidak ditunaikan, sedangkan beban kos sara hidup terus meningkat.
"Jika isu asas seperti harga santan dan kelapa pun gagal ditangani dengan berkesan, bagaimana rakyat boleh yakin terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani masalah ekonomi yang lebih besar?" soalnya.
0 Ulasan