PRN Sabah: Tiada persefahaman pilihan raya antara Warisan dan BN

 


Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking menegaskan bahawa tiada sebarang persefahaman pilihan raya antara partinya dan Barisan Nasional (BN) Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.  

Menurutnya, beliau menerima banyak pertanyaan daripada wartawan, ahli parti serta orang awam yang ingin mendapatkan kepastian mengenai dakwaan bahawa Warisan telah mencapai persefahaman dengan BN Sabah seperti yang dikongsi oleh sebuah laman di Facebook pada 13 Februari lalu.  

"Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang persefahaman pilihan raya dibuat antara Warisan dan BN Sabah, termasuk dengan mana-mana parti politik lain, yang membabitkan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan media kelmarin.  

Darell turut menjelaskan bahawa isu tersebut tidak pernah dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi Warisan mahupun Biro Politik parti untuk dibincangkan.  

"Justeru, hantaran tersebut tidak lebih daripada sekadar andaian dan spekulasi yang sering muncul menjelang pilihan raya," katanya.  

Beliau juga berpendapat bahawa perkembangan politik terkini menunjukkan kemungkinan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengharapkan kerjasama dengan BN Sabah.  

"Ketika Persidangan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-39 pada 29 Oktober 2024 di KDCA, Hajiji sendiri menyatakan bahawa GRS terbuka untuk berbincang mengenai kerjasama dengan BN Sabah.  

"Merujuk kepada kesediaan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk terus bersama dengan GRS, maka tidak menghairankan jika Hajiji mahu BN Sabah turut bekerjasama dengan gabungan tersebut. Ini semua bagi memastikan GRS terus memerintah negeri ini," katanya.

BACA LAGI

MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan