Walaupun kadar inflasi rasmi kelihatan rendah, rakyat tetap merasakan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan, terutamanya dalam perbelanjaan harian seperti makanan di luar rumah dan bil utiliti.
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, kadar inflasi bagi makanan di luar rumah adalah antara yang paling dirasai rakyat dan memberi kesan besar kepada perbelanjaan harian mereka.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, kadar inflasi untuk kategori ini sebenarnya meningkat dengan cepat sejak beberapa bulan lalu, sehingga mencapai 4.8 peratus pada Disember 2024,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurut beliau, kadar inflasi keseluruhan yang dilaporkan hanya 1.8 peratus sebenarnya tidak mencerminkan realiti sebenar kerana ia dipengaruhi oleh kejatuhan besar dalam harga komunikasi mudah alih.
“Harga komunikasi mencatat inflasi negatif 10 peratus akibat peralihan daripada 4G ke 5G yang menawarkan kos lebih rendah melalui rancangan Single Wholesale Network (SWN) oleh Digital Nasional Berhad (DNB) yang dilaksanakan semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Maka, walaupun kadar inflasi rasmi nampak rendah, hakikatnya rakyat tetap berdepan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan,” katanya.
Sian See turut menegaskan bahawa tekanan kos hidup bukan sahaja datang daripada makanan di luar rumah tetapi juga bil utiliti seperti air dan Indah Water Konsortium (IWK), yang turut mengalami peningkatan harga.
0 Ulasan