Penjual jagung hina kaum India mesti kena tindakan undang-undang - Akmal

 


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa tindakan undang-undang dikenakan terhadap penjaja jagung yang didakwa menghina kaum India menerusi notis berunsur perkauman.  

Beliau menegaskan, tindakan menghina antara kaum tidak seharusnya hanya berakhir dengan permohonan maaf semata-mata.  

“Saya minta tindakan seperti ini dikenakan tindakan undang-undang, bukan hanya berakhir dengan meminta maaf sahaja.  

“Tidak kira siapa pelakunya, tindakan undang-undang perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada pihak lain.  

“Kalau tidak, budaya sebegini, buat dulu, minta maaf kemudian, akan semakin berleluasa dan semakin mudah golongan ini terlepas,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sebelum ini, tular rakaman video di media sosial menunjukkan seorang penjaja meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja jualannya di tepi jalan.  

Menerusi video berkenaan, penjaja tersebut meletakkan notis berbunyi *"Maaf, ini jagung tiada jual sama orang k****g"*, sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat India kerana perkataan itu dianggap menghina kaum terbabit.

Hari ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di X mengesahkan bahawa penjual jagung terbabit telah memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum India atas perbuatannya yang boleh menjejaskan keharmonian.

Beliau berkata, peniaga tersebut juga telah berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan