Ambil tindakan tegas lelaki berpakaian seperti wanita

 


Dewan Ulamak PAS menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana lelaki yang berpakaian seperti wanita dan menunjukkan ciri-ciri kewanitaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.  

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, perbuatan sedemikian bukan sahaja dilarang oleh agama, malah jelas merupakan kesalahan di bawah beberapa enakmen negeri, termasuk Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.  

Beliau berkongsi hadis Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud, Al-Tirmizi dan Ibn Majah yang bermaksud: "Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki." 

"Pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu bertindak tegas dengan menasihati dan mengambil tindakan terhadap segelintir pempengaruh media sosial yang berpakaian serta berperwatakan seperti wanita," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, perbuatan beberapa lelaki berpakaian wanita di karpet merah acara hiburan televisyen tempatan mendapat kecaman orang ramai dan teguran para pendakwah.

Ahmad menegaskan, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa kepada normalisasi budaya yang bertentangan dengan nilai agama dan masyarakat.  

“Sebelum ini negara pernah dikejutkan dengan perbuatan seorang lelaki yang menyerupai wanita menunaikan umrah di tanah suci. 

"Namun, fenomena ini terus berleluasa kerana kurangnya ketegasan pihak berkuasa dalam menangani isu ini,” katanya.  

Menurut beliau, Dewan Ulamak Pas juga menolak sebarang justifikasi yang menggunakan alasan hak asasi manusia untuk mempertahankan golongan tersebut.  

“Hak asasi manusia hanya dapat ditegakkan apabila ia selari dengan ajaran Islam. 

"Jika nafsu yang memimpin hak asasi, maka binatang pun akan kalah,” katanya. 

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan