Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mendakwa pemilihan DAP bulan depan kelihatan kecoh dan berpuak-puak berikutan perebutan kuasa dalam parti tersebut.
Menurut beliau, perhatian ramai kini tertumpu kepada pemilihan parti itu kerana DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan dan memiliki kuasa, sekali gus menyebabkan persaingan merebut kedudukan semakin sengit.
“DAP perlu belajar bagaimana mengurus kuasa. Persoalannya, mampukah parti itu kekal konsisten dengan idealisme yang sering dilaung-laungkan?
“Kini kita mula mendengar pelbagai isu membabitkan pemimpin DAP, termasuk dakwaan rasuah, tuduhan rogol dan macam-macam lagi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd Puad turut mendakwa terdapat individu Melayu yang berminat menyertai DAP bukan kerana perjuangan parti, tetapi semata-mata ingin menggunakan jalan mudah untuk menjadi calon pilihan raya.
“Jika bertanding di kawasan yang mempunyai peratusan pengundi Cina yang tinggi, mereka pasti menang.
“Namun, ia boleh menjadi masalah kepada DAP, terutamanya jika individu Melayu yang menyertai parti itu terlalu liberal dan bebas bercakap soal Islam serta Melayu tanpa memahami sensitiviti masyarakat, meskipun bergelar profesor,” katanya.
Beliau berkata, parti itu kini berdepan cabaran turun naik dalam arena politik akibat kuasa yang dimiliki.
0 Ulasan