Pelaksanaan Fasa 3 e-invois yang bermula pada 1 Julai 2025 dijangka menjadi satu lagi cabaran besar bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang sudah pun berdepan pelbagai tekanan kos.
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, tahun 2025 menyaksikan keadaan lebih mencabar buat sektor perniagaan di Malaysia, dengan pelbagai kenaikan kos yang memberi kesan langsung terhadap operasi mereka.
“Selain e-invois, antara faktor yang menambah tekanan termasuk peluasan skop cukai SST bermula Mei, kenaikan duti setem sejak Januari, serta peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 sejak Februari.
“Majikan juga diwajibkan mencarum dua peratus untuk pekerja asing, sementara tarif asas elektrik akan meningkat mulai Julai selepas tarif air dinaikkan pada 2024,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menurut Sian See, harga RON95 turut dijangka naik pada pertengahan tahun ini, selepas kenaikan harga diesel sebanyak 56 peratus tahun lalu.
“Selain itu, sewa premis perniagaan diramal meningkat antara lima hingga 20 peratus, manakala kos insurans perubatan pekerja juga terus meningkat.
“Dalam keadaan sebegini, Fasa 3 e-invois hanya akan menambah satu lagi lapisan kesulitan kepada perniagaan yang semakin terhimpit,” jelasnya.
Beliau berkata, meskipun perniagaan dengan perolehan tahunan kurang daripada RM150,000 dikecualikan, syarikat lain wajib menjana e-invois yang boleh menjejaskan aliran tunai dan menyebabkan penalti jika gagal dipatuhi.
“Oleh itu, ramai percaya jika perniagaan tidak menaikkan harga barang dan perkhidmatan, mereka berisiko mengalami kerugian sehingga terpaksa gulung tikar,” tambahnya.
0 Ulasan