Ketiadaan elemen jenayah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan kelemahan dalam sistem perolehan berterusan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil maklum laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati tiada unsur jenayah dalam dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.
“Walaupun tiada kesalahan jenayah dikesan, kelemahan tatakelola dan garis panduan DBKL yang dikenal pasti SPRM perlu diberi perhatian serius.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan yang menguruskan peruntukan besar dan bertanggungjawab kepada rakyat, DBKL perlu memastikan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam semua aspek pentadbirannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, SPRM mengesahkan tiada elemen jenayah didapati berlaku berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dapatan itu adalah hasil semakan pihaknya terhadap dokumen yang dibekalkan oleh DBKL pada 7 Februari lalu berhubung pelaksanaan projek penerbitan kandungan dan siaran studio serta konti radio DBKL.
Sehubungan itu, MCW menggesa DBKL mengambil beberapa langkah bagi menambah baik sistem perolehan, termasuk memperbaiki tatakelola dengan memastikan mekanisme perolehan lebih telus dan bebas daripada konflik kepentingan.
Selain itu, DBKL juga disaran mengamalkan polisi ketelusan dengan menyiarkan semua keputusan perolehan dan pemberian projek secara terbuka bagi penelitian awam.
“Pihak berkuasa tempatan juga perlu meningkatkan pengawasan dalaman dengan memperkukuh sistem pemantauan dan kawal selia supaya semua pegawai mematuhi garis panduan yang ketat dalam urusan perolehan,” katanya.
Jais menegaskan bahawa sebarang bentuk ketidakpatuhan terhadap tatakelola yang baik perlu diambil tindakan tegas bagi memastikan DBKL bebas daripada unsur penyalahgunaan kuasa.
Katanya, integriti dalam pengurusan dana awam bukan hanya bergantung kepada ketiadaan unsur jenayah tetapi juga kepada kecekapan serta ketelusan sistem yang diamalkan.
“MCW akan terus memantau perkembangan isu ini dan bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan reformasi tatakelola yang lebih baik dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
0 Ulasan