Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cekal meneruskan perjuangan bagi membuktikan bahawa beliau tidak diberikan perbicaraan yang adil seperti yang dinyatakan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan kewujudan titah adendum dan menetapkan Mahkamah Tinggi sebagai pihak yang akan memutuskan legalitinya pada 11 Mac 2025 adalah satu perkembangan penting.
“Namun, Najib tidak berhenti setakat itu sahaja. Beliau akan memohon prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
“Ia menunjukkan betapa beliau tidak gentar meneruskan usaha mencari keadilan walaupun menghadapi pelbagai rintangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Puad turut menyifatkan situasi ini sebagai bukti bahawa di Malaysia, amat sukar untuk mencari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan masyarakat sivil yang benar-benar bebas, konsisten, dan tidak memihak dalam memperjuangkan keadilan.
“Akhirnya, individu yang cekal seperti Najib sahaja yang boleh diharapkan untuk membongkar hipokrasi yang wujud dalam sistem ini. Bukan Majlis Peguam," jelasnya.
0 Ulasan