Pemuda PH cuba memperbodohkan rakyat - Lim Sian See

 


Penganalisis politik, Lim Sian See mendakwa alasan yang diberikan oleh Pemuda Pakatan Harapan (PH) bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mengalami kerugian dalam urusan jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebagai satu lagi cubaan memperbodohkan rakyat.  

Menurut beliau, logik yang digunakan oleh Pemuda PH tidak masuk akal, terutama apabila membandingkan keuntungan jangka panjang KWSP sejak tahun 1999 dengan transaksi luar biasa yang berlaku antara 2023 dan 2024.  

“KWSP menjual saham MAHB secara besar-besaran pada harga RM5.40 sesaham, kemudian dalam tempoh beberapa bulan, terpaksa membeli kembali saham yang sama pada harga RM11 sesaham. 

"Ini bermakna KWSP mengalami kerugian antara RM540 juta hingga RM770 juta akibat tindakan ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.  

Sian See juga mempersoalkan justifikasi Pemuda PH yang menyatakan KWSP tidak rugi kerana telah memperoleh keuntungan dan dividen tahunan daripada pelaburan MAHB sejak ia disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1999.  

“Itu adalah hasil pelaburan selama lebih 20 tahun, sebelum kerajaan hari ini pun wujud. Ia bukan jasa kerajaan Madani. Apa yang dipersoalkan adalah keputusan jual beli saham dalam tempoh setahun ini yang menyebabkan kerugian besar kepada pencarum,” katanya.  

Beliau menegaskan bahawa keuntungan jangka panjang yang diperoleh sejak dahulu tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan kerugian besar dalam masa yang singkat.  

“Kalau begitu logiknya, adakah PH fikir bahawa kerana KWSP pernah untung besar sejak dahulu, maka tidak mengapa kalau sekarang rugi besar pula?” soalnya.  

Dalam pada itu, Sian See turut mencabar KWSP untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak yang membangkitkan isu ini termasuk dirinya dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.  

"Jadi, sila saman. Jangan tak saman. Kami pun nak tengok penjelasan di mahkamah," jelasnya.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan