![]() |
Gambar: Laman sesawang Transparency International |
Kedudukan Malaysia yang kekal di tangga ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang dikeluarkan oleh Transparency International hari ini mencerminkan usaha pembanterasan rasuah masih belum cukup untuk membawa perubahan ketara dalam persepsi global terhadap tadbir urus negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, CPI bukan sekadar mengukur keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pendakwaan kes rasuah, tetapi turut mengambil kira aspek tadbir urus secara menyeluruh.
“Antara faktor yang dinilai termasuk kecekapan dan ketelusan sistem perundangan, ketelusan pentadbiran, daya saing ekonomi, kestabilan politik serta perlindungan terhadap pemberi maklumat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun kedudukan Malaysia tidak merosot, kegagalan mencatat peningkatan menunjukkan reformasi struktur yang dilaksanakan masih belum cukup berkesan.
Justeru, katanya, MCW menggesa kerajaan mempercepatkan agenda reformasi institusi, memperkukuh mekanisme pemantauan serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan sumber awam.
“Kita tidak boleh hanya menumpukan kepada aspek rasuah semata-mata, tetapi perlu melihat tadbir urus secara menyeluruh.
"Jika Malaysia mahu melonjak dalam kedudukan CPI, perubahan mendalam perlu dilakukan dalam semua sektor pentadbiran dan ekonomi negara,” katanya.
0 Ulasan