Mengapa pelantikan syarikat ganti PUSPAKOM tidak melalui tender terbuka?

 

Gambar hiasan: FB PUSPAKOM

Penganalisis politik, Lim Sian See mempersoalkan kewajaran Kementerian Pengangkutan melantik syarikat baharu bagi menggantikan PUSPAKOM tanpa melalui proses tender terbuka.  

Menurut beliau, pelantikan syarikat bagi melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) itu tidak melalui tender terbuka, sebaliknya syarikat yang berminat hanya perlu memohon lesen daripada Kementerian Pengangkutan.  

“Kaedah ini pernah mencetuskan kontroversi besar apabila sebuah syarikat milik suami Menteri DAP diberikan lesen oleh kementerian, lalu dianugerahkan kontrak oleh kerajaan Selangor tahun lalu dengan syarat pelantikan kontrak mewajibkan syarikat memiliki lesen Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.


Sian See berkata, syarikat yang layak mendapat lesen PPKM hanya perlu mempunyai modal minimum RM10 juta, berstatus Sdn Bhd, dan dimiliki rakyat tempatan. 

Bagaimanapun, katanya, tidak dinyatakan syarat berkaitan pengalaman industri, kadar perkhidmatan lebih murah atau penggunaan teknologi moden.  

Beliau berpendapat, kriteria yang lemah dan longgar dalam pemilihan syarikat berisiko membuka ruang kepada kronisme, ketirisan serta perkhidmatan berkualiti rendah.  

“Tanpa persaingan harga, pengguna mungkin tetap membayar kadar tinggi, manakala syarikat yang tiada pengalaman boleh menjejaskan keselamatan jalan raya,” ujarnya.  

Sian See menegaskan bahawa tender terbuka lebih wajar dilaksanakan bagi memastikan ketelusan serta pemilihan syarikat terbaik berdasarkan merit, harga kompetitif dan kepakaran.  

“Jika tidak, kita hanya menggantikan satu monopoli dengan oligopoli yang mungkin mempunyai kepentingan politik serta tidak memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.






Catat Ulasan

0 Ulasan