Defisit, hutang negara melonjak semula selepas PH menang

 

Grafik: FB Lim Sian See

Defisit dan hutang negara melonjak semula selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, sepanjang pemerintahan Najib, kewangan negara berada dalam keadaan lebih terkawal dengan perbelanjaan yang tidak membebankan ekonomi negara. 

Namun, katanya, keadaan itu berubah selepas BN kehilangan kuasa pada 2018.

"Rafizi selalu menuduh kerajaan BN di bawah Najib sebagai boros, tetapi hakikatnya, bajet perbelanjaan kerajaan Madani jauh lebih besar berbanding BN. 

"Sebagai contoh, bajet 2025 diumumkan sebanyak RM421 bilion, iaitu RM160 bilion atau 62 peratus lebih tinggi daripada bajet 2017 di bawah Najib yang hanya RM260.8 bilion. 

"Bajet tahun 2023 sebanyak RM388.1 bilion dan tahun 2024 pula mencecah RM407.5 bilion," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sian See turut membangkitkan persoalan bagaimana kerajaan sekarang masih menuduh Najib sebagai boros sedangkan angka perbelanjaan kerajaan hari ini jauh lebih besar.

"Sejak bila RM260.8 bilion lebih besar daripada RM388.1 bilion, RM407.5 bilion atau RM421 bilion? Ini satu lagi formula songsang yang hanya geng Madani faham," katanya sinis.

Menurut beliau, selama sembilan tahun berturut-turut ketika Najib menjadi Perdana Menteri, defisit kerajaan menurun, hutang negara terkawal, dan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga stabil malah menurun kepada 48.7 peratus pada suku pertama 2018.

"Namun, semua ini hanya tinggal sejarah selepas PRU14. Sejurus kerajaan BN tumbang, defisit dan hutang negara melonjak semula. 

"Dari RM686.8 bilion pada era Najib, kini hutang negara telah mencecah RM1.25 trilion dalam hanya lapan tahun dengan nisbah hutang mencecah 64.3 peratus pada akhir tahun 2023 di bawah kerajaan Madani," ujarnya.

Sian See turut mempersoalkan sama ada perbelanjaan besar kerajaan hari ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat atau sekadar membebankan ekonomi negara.

"Jadi, siapa sebenarnya yang boros? Atau mungkin logik kewangan Madani ini hanya boleh difahami oleh golongan yang percaya bahawa lebih banyak berbelanja sebenarnya bermaksud lebih berjimat?" katanya.






Catat Ulasan

0 Ulasan