Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Lassim Burhan secara sinis mencadangkan supaya Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Parti Amanah Negara (Amanah) meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Beliau berkata, kerajaan negeri yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus komited dalam memajukan Johor dengan menarik pelaburan serta memperkenalkan model ekonomi baharu yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Menurut Lassim, kepercayaan serta sokongan rakyat terhadap kepimpinan negeri membuktikan kestabilan dan kemakmuran Johor berada pada landasan yang kukuh.
“Namun, dalam mencapai keharmonian, fokus bukan sekadar berpolitik sepanjang masa. Kenyataan AMK dan Amanah yang berulang kali membangkitkan isu pembahagian kerusi untuk PRN-16 menunjukkan sikap gelojoh dan pentingkan diri sendiri.
“UMNO Johor sendiri belum pernah membincangkan soal pembahagian kerusi di peringkat perhubungan negeri, tetapi gambaran yang diberikan seolah-olah UMNO tamak dan PRN akan berlangsung esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, jika AMK dan Amanah terlalu ghairah berebut kerusi, mereka dipersilakan untuk bertanding di semua kawasan tanpa perlu memikirkan kerusi mana yang bakal ditandingi UMNO.
“UMNO bukan komponen gabungan Pakatan Harapan (PH), kami boleh bergerak sendiri dan bertanding di mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai.
“Jadi kepada ‘Mat AMK’, silakan bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor pada PRN-16 nanti. Tiada siapa pun yang mahu menghalang,” katanya.
0 Ulasan