Duti setem naik, beban kewangan rakyat bertambah



Penganalisis politik, Lim Sian See mendakwa, beban kewangan rakyat semakin bertambah akibat kenaikan duti setem dan penalti yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Madani bermula 1 Januari 2025.

Menurut beliau, kerajaan telah 'menambah baik' kadar serta cara pengiraan duti setem yang memberi impak besar kepada penyewa, terutama bagi perjanjian sewa jangka panjang.

"Tiada lagi pengecualian RM2,400 setahun bagi perjanjian sewa. 

"Kini, duti setem dikenakan dari ringgit pertama sewa tahunan," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Selain itu, Sian See berkata, struktur kadar juga diubah daripada tiga peringkat kepada empat peringkat dengan kadar lebih tinggi, terutamanya bagi tempoh sewa lebih lama.

Beliau memberitahu, mengambil contoh sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak RM200 sebulan untuk dua tahun, kadar lama duti setem adalah RM10, tetapi kini meningkat kepada RM40, kenaikan sebanyak 300 peratus. 

"Jika tempoh sewa dilanjutkan kepada enam tahun, kadar lama hanya RM10 tetapi kini melonjak kepada RM80, naik 700 peratus," jelasnya.

Sian See menambah, bagi sewa RM1,500 sebulan untuk dua tahun, duti setem yang dahulu RM136 kini meningkat kepada RM226 (66.2 peratus), manakala untuk enam tahun, ia naik dari RM262 kepada RM514 (96.2 peratus).

Beliau menjelaskan, kenaikan turut melibatkan kadar sewa lebih tinggi, contohnya bagi sewa RM10,000 sebulan untuk tiga tahun, kadar lama RM952 kini meningkat kepada RM1,450 (52.3 peratus), manakala bagi enam tahun, ia melonjak dari RM1,894 kepada RM3,370 (77.9 peratus).

"Selain duti setem, penalti untuk lewat stamping juga dinaikkan secara mendadak. 

"Bagi sewa RM10,000 untuk enam tahun, penalti lama bagi kelewatan satu bulan hanya RM94.75, tetapi kini meningkat kepada RM337, iaitu kenaikan 255.8 peratus. 

"Jika lewat empat bulan, penalti lama RM189.50 tetapi kini meningkat kepada RM674 (255.6 peratus).

"Semua dokumen yang wajib distamp, termasuk pemindahan harta tanah dan perjanjian komersial, kini tertakluk kepada penalti lebih tinggi jika lewat disetem..

"Dengan kadar lebih tinggi dan pengecualian RM2,400 dimansuhkan, kerajaan dapat memungut lebih banyak hasil daripada transaksi penyewaan dan penalti lambat stamping," katanya.

Menurut Sian See, langkah ini jelas menunjukkan niat kerajaan untuk mengutip lebih banyak wang daripada rakyat secepat mungkin, sekali gus menambah beban kewangan kepada mereka.







Catat Ulasan

0 Ulasan