Sebelum PRU14, satu naratif songsang telah dicanang oleh Pakatan Harapan (PH) kononnya pentadbiran Datuk Seri Najib Razak telah membawa negara ke ambang kebankrapan dengan hutang yang dikatakan terlalu tinggi.
Namun, angka rasmi yang terkini jelas membuktikan sebaliknya: hutang negara bukan sahaja tidak menyusut selepas Najib digulingkan, malah meningkat secara mendadak ke paras yang jauh lebih tinggi.
Penganalisis politik, Lim Sian See, merujuk kepada fakta bahawa pada 2017, ketika Najib menjadi Perdana Menteri, hutang negara berjumlah RM686.8 bilion.
Ketika itu, pembangkang menyebarkan fitnah bahawa Malaysia bakal muflis kerana hutang ini.
Mereka menakut-nakutkan rakyat dengan dakwaan bahawa ekonomi negara sudah hancur dan anak cucu akan menanggung beban hutang sehingga ke generasi mendatang.
Namun, selepas Najib disingkirkan, pentadbiran negara bertukar tangan kepada mereka yang kononnya lebih "bijak" mengurus kewangan. Kini, setelah tujuh tahun, angka rasmi menunjukkan bahawa hutang negara melonjak kepada RM1,249.3 bilion pada tahun 2024—peningkatan sebanyak RM562.5 bilion.
Ironinya, dengan jumlah hutang yang hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding era Najib, Malaysia tidak pula diisytiharkan bankrap.
Tidak ada lagi amaran kononnya negara akan hancur, malah pihak yang sama yang dahulu berteriak tentang hutang kini diam membisu.
Sian See menegaskan, pihak yang sebelum ini menuduh Najib akan menyebabkan hutang negara mencecah RM1 trilion sehingga membawa Malaysia ke jurang kehancuran adalah individu yang sama yang kini berkuasa dan telah meningkatkan hutang negara ke tahap yang jauh lebih tinggi dalam tempoh yang lebih singkat.
Jadi, persoalan yang harus dijawab oleh mereka ialah: jika RM686.8 bilion dahulu dianggap sebagai "bencana," mengapa RM1.2 trilion hari ini tidak dianggap lebih teruk?
Hakikatnya, tuduhan terhadap Najib bukanlah berdasarkan fakta ekonomi, tetapi lebih kepada permainan politik untuk menjatuhkan beliau. Jika benar negara akan bankrap dengan hutang RM686.8 bilion, maka bagaimana pula dengan hutang yang kini melebihi RM1.2 trilion?
Atau adakah mereka kini mahu berpura-pura bahawa hutang sebesar ini tidak memberi kesan buruk kepada negara?
Lebih mengejutkan, di sebalik peningkatan mendadak hutang negara, rakyat tidak melihat sebarang kemajuan besar dalam pembangunan infrastruktur, penambahbaikan ekonomi, atau kesejahteraan hidup mereka.
Harga barang terus melambung, rakyat masih dihimpit kos sara hidup yang tinggi, dan janji-janji reformasi ekonomi yang dicanangkan oleh kerajaan terdahulu hingga kini masih tinggal janji.
Jadi, ke manakah perginya wang daripada peningkatan hutang ini?
Apa yang berlaku hari ini membuktikan bahawa mereka yang kononnya lebih baik dalam mengurus ekonomi negara hanyalah ahli propaganda yang pandai menjual auta kepada rakyat tetapi gagal membuktikan kecekapan sebenar apabila berkuasa.
Mereka sanggup mencipta mitos bahawa Najib adalah punca segala masalah negara, tetapi akhirnya merekalah yang menambah beban hutang tanpa sebarang justifikasi yang jelas.
Jika rakyat dahulu diperdaya dengan propaganda bahawa hutang negara di bawah Najib akan membawa kehancuran, kini mereka harus membuka mata dan bertanya: siapakah sebenarnya yang telah menggandakan hutang dan apa hasilnya kepada rakyat?
Naratif anti-Najib semakin terbongkar, dan realiti semakin jelas bahawa peningkatan hutang yang drastik hari ini adalah bukti kegagalan PH yang kononnya lebih layak memimpin negara.
0 Ulasan