Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh memberi amaran keras kepada Ketua DAPSY, Woo Kah Leong agar tidak mencampuri urusan Islam.
Beliau menegaskan, Pemuda UMNO akan menentang mana-mana pihak yang cuba menggugat kepentingan agama dan bangsa.
“Semalam, Ketua Pemuda DAPSY menasihatkan saya supaya jangan bersikap lebih ‘Ketua Pemuda PN dari Ketua Pemuda PN sendiri’. Jadi, saya juga ingin memberi amaran kepadanya.
"Prinsip UMNO adalah menjaga agama, bangsa dan tanah air, bukan sekadar berpolitik secara semberono,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Dr. Akmal berkata, Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan Islam.
“Mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan agama dan bangsa kami, tidak kira siapa pun mereka, maka menjadi tanggungjawab kami untuk melawan mereka.
"Apabila kamu campur tangan dalam urusan agama kami, maka menjadi tanggungjawab kami, orang Melayu Muslim, untuk mempertahankannya,” katanya.
Dr. Akmal turut mengingatkan bahawa bagi orang Melayu, kepentingan agama dan bangsa mengatasi kepentingan politik.
“Urusan agama kami adalah urusan kami, bukan urusan kamu! Selama ini, kami tidak pernah menyentuh urusan agama kamu.
"Jangan terkejut jika suatu hari nanti kamu akan kekal menjadi pembangkang selamanya jika terus mencampuri urusan agama dan bangsa kami,” tegasnya.
Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa orang Melayu akan terus mempertahankan kepentingan agama dan bangsa mereka.
“Kaduk naik junjung!” katanya bagi memberi peringatan kepada pihak yang cuba mencabar kedudukan Islam di negara ini.
0 Ulasan