PH hilang sokongan Melayu kalau UMNO berpaling tadah

 

Gambar hiasan: Facebook Zahid Hamidi

UMNO bukan sekadar rakan kongsi dalam kerajaan Madani, sebaliknya menjadi faktor utama dalam memastikan kestabilan politik negara dan kelangsungan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata penganalisis politik, Lim Sian See.  

Menurutnya, jika UMNO berpaling tadah, PH akan kehilangan sokongan Melayu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan/atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkemungkinan besar akan beralih kepada Perikatan Nasional (PN), sekali gus menyebabkan kejatuhan kerajaan Madani serta merencatkan peluang PH pada PRU16.  

Sian See menjelaskan bahawa UMNO kini berperanan sebagai benteng terakhir yang menghalang perubahan kuasa di peringkat persekutuan. Dengan 26 kerusi Parlimen, UMNO menjadi penyumbang utama kepada kestabilan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

“Tanpa UMNO, PH tidak cukup kuat untuk mendapatkan sokongan Melayu yang stabil. Jika UMNO menyertai PN, GPS, GRS dan Warisan mungkin turut serta, menyebabkan kerajaan Anwar runtuh atau membawa kepada pilihan raya mengejut,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Tambahnya, GPS tidak setia kepada mana-mana blok politik, sebaliknya menyokong pihak yang mempunyai dominasi di Semenanjung.  

“GPS pernah menyokong PN semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Selepas PRU15, mereka menyertai PH-BN kerana Anwar mempunyai majoriti lebih besar.  

“Jika UMNO berpihak kepada PN dan mengubah keseimbangan kuasa, GPS juga akan berpindah kepada PN,” jelasnya, sambil menambah bahawa kestabilan GPS di Sarawak bergantung kepada siapa yang menguasai politik persekutuan.  

Menurut Sian See, sokongan UMNO yang masih berada pada kadar 15 hingga 20 peratus dalam kalangan pengundi Melayu adalah faktor kritikal bagi PH untuk menang di kerusi campuran, terutamanya di kawasan yang bergantung kepada undi Melayu sebagai pelengkap kemenangan.  

“Jika UMNO runtuh, bertanding secara bersendirian atau menyertai PN, PH akan kehilangan banyak kerusi campuran pada PRU16. 

"Ini kerana PN akan menyerap 15 hingga 20 peratus undi Melayu UMNO, sekali gus menyebabkan PH kehilangan banyak kerusi marginal,” katanya.  

Beliau turut memberi amaran bahawa kehilangan UMNO akan melemahkan kubu kuat DAP, menyebabkan PH lebih terdedah kepada persepsi sebagai gabungan bukan Melayu serta menjejaskan daya tarikan PKR sebagai parti berbilang kaum.  

Sian See juga berpandangan bahawa UMNO berperanan sebagai penampan terhadap sebarang tindakan undang-undang dan serangan politik terhadap Anwar.  

“Jika Anwar kehilangan kuasa, beliau berisiko menghadapi siasatan atau dakwaan berkaitan isu seperti titah adendum dalam kes Datuk Seri Najib Razak.  

“Selain itu, jika PN kembali berkuasa, mereka mungkin akan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara untuk menyiasat kepimpinan PH, sebagaimana yang berlaku terhadap PN selepas PRU15,” katanya.  

Sian See menegaskan, UMNO adalah faktor utama yang memastikan kerajaan Anwar terus bertahan dan memberikan kelebihan strategik kepada PH dalam PRU16.  

“UMNO menghalang kejatuhan segera kerajaan Anwar, menjadi penentu kemenangan PH di kerusi campuran serta menghalang GPS daripada berpihak kepada PN. Tanpa UMNO, PH tidak boleh menyaingi PN dalam meraih undi Melayu,” katanya.  

Namun, beliau turut mengingatkan bahawa nilai UMNO kepada kerajaan Madani akan semakin merosot sekiranya akar umbi parti dan pengundi Melayu melihat UMNO terlalu tunduk kepada PH dan DAP atau seolah-olah dibuli oleh Madani, seperti dalam kes saman sivil SRC terhadap UMNO dan isu titah adendum Yang di-Pertuan Agong berkaitan Najib.


BACA LAGI




Check out Wangian Kasturi Kijang Original Minyak Wangi Kasturi Putih Hitam Sunnah for RM60.00 - RM160.00. Get it on Shopee now! https://s.shopee.com.my/qUFua24fK?share_channel_code=1 


Catat Ulasan

0 Ulasan