Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menasihatkan peguam, Datuk S. Ambiga dan Lawyers for Liberty (LFL) agar tidak menjadi jaguh songsang dalam isu kuil yang dibina di atas tanah wakaf masjid di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
“Saya setuju dengan PMX. Jangan cuba jadi jaguh isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India Kuala Lumpur.
“Tindakan LFL dan Ambiga agar masjid dibina di tapak alternatif berbaur hasutan agar pihak lain berdegil dan mengabai undang-undang,” katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.
Menurut beliau, tanah berkenaan adalah milik Jakel yang diperoleh melalui proses jual beli yang sah dan pihak luar tidak berhak menentukan apa yang boleh dibina di atasnya.
“Itu tanah milik Jakel. Ia dibeli melalui proses jual beli yang sah. Mana boleh tanah milik kita, orang lain pula mahu tentukan apa yang boleh dan tidak boleh dibangun di atasnya.
“Biarlah Jakel, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak kuil berunding. Kenapa LFL dan Ambiga menyibok? Kamu peguam. Patuhilah undang-undang. Reformasi apa yang kamu perjuangkan?” tegasnya.
Mohd Puad berkata, langkah Jakel menawarkan kos pemindahan kuil ke lokasi baharu adalah pendekatan harmoni dan lebih wajar bagi mengelakkan masalah pada masa akan datang.
“Bukankah Jakel mengambil langkah harmoni kerana sedia menanggung kos pindah kuil ke tapak baru yang disediakan?
“Mana harmoninya masjid dan kuil dibina sebelah menyebelah. Akan ada masalah di kemudian hari. Berhentilah jadi jaguh songsang,” katanya.
0 Ulasan