Muhyiddin jangan mimpi jadi PM sekali lagi

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak bermimpi untuk kembali menjadi Perdana Menteri.  

Menurut, Muhyiddin sepatutnya menyelesaikan kes-kes mahkamahnya terlebih dahulu.

"Muhyiddin tidak perlu bermimpi untuk menjadi ‘kerajaan menanti’ jika dia sendiri bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi.  

"Selesaikan dulu kes-kes mahkamahnya. Buktikan kepada rakyat ketelusannya iaitu membawa balik menantunya untuk menghadapi proses keadilan di Malaysia. 

"Rakyat mahu tahu cerita sebenar Jana Wibawa," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.  

Mohd Puad turut mempersoalkan dakwaan Muhyiddin bahawa beliau mempunyai solusi untuk menyelesaikan isu rakyat, sambil mengkritik pentadbirannya sebelum ini.  

"Muhyiddin mendakwa dia ada solusi untuk menyelesaikan isu rakyat. Dia mendabik dada kononnya kerajaan 17 bulannya dulu berjaya. Termasuk mengharungi pandemik Covid-19.  

"Hakikatnya dia Perdana Menteri ke-8 yang gagal. PKP separa masak telah menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada 5,768 dalam tempoh 38 hari ‘total lockdown’ diumumkan," tegasnya.  

Beliau turut merujuk Indeks Pengendalian Covid-19 yang dikeluarkan Bloomberg yang meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga paling corot dalam kalangan 53 negara ekonomi utama.  

Mohd Puad juga menyindir Muhyiddin yang berbangga dengan moratorium pinjaman dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sedangkan menurutnya, itu adalah cadangan Datuk Seri Najib Razak yang menjadi syarat sokongan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan ketika itu.  

"Muhyiddin bangga pada moratorium pinjaman dan pengeluaran khas KWSP. Sedangkan itu idea Najib dan jadi syarat sokongan BN kepadanya.  

"PAS menyindir syarat itu umpama syarat Puteri Gunung Ledang. Tetapi skim i-Citra yang dilaksanakan jadi i-Marah di kalangan rakyat," katanya.  

Mohd Puad menegaskan bahawa kegagalan pentadbiran Muhyiddin terserlah apabila rakyat terpaksa melancarkan gerakan #BenderaPutih bagi mendapatkan bantuan.  

"Kemuncak gagalnya Muhyiddin ialah wujud Gerakan #BenderaPutih di merata tempat. Apakah Muhyiddin ada masalah ‘short memory’?" soalnya.

BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan