Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook Khor Soon Keat yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Beliau menegaskan bahawa perbuatan tersebut sama sekali tidak boleh diterima kerana menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menggugat keharmonian negara.
"Tular baru-baru ini mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh individu bernama Khor Soon Keat, yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW, adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.
"Saya ingin memberi amaran dengan tegas bahawa sebarang kenyataan atau tindakan yang menyentuh sensitiviti agama lain akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi oleh pihak penguat kuasa," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Aaron berkata, Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya, justeru setiap individu perlu menghormati sensitiviti kepercayaan masing-masing.
"Tindakan menghina mana-mana agama bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara, tetapi juga boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan dan ketenteraman awam.
"Saya ingin mengingatkan bahawa tiada ruang untuk sebarang bentuk kebencian atau provokasi agama di negara ini. Kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan perpecahan atau ketegangan antara kaum dan agama," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Setiap warganegara Malaysia wajib faham, hormat dan terima kepelbagaian yang ada. Marilah kita semua hidup dalam suasana yang penuh hormat dan saling memahami demi menjaga keamanan dan keharmonian negara yang kita cintai ini," katanya.
0 Ulasan