Pakatan Harapan (PH) juga akan membantah langkah kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad sekiranya mereka masih berada di blok pembangkang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Menurut beliau, pihak pembangkang sememangnya tidak akan bersetuju dengan keputusan kerajaan menyuntik dana pinjaman berjumlah RM1.1 bilion kepada syarikat tersebut.
"Pembangkang memang tidak akan bersetuju kerajaan menyuntik dana pinjaman RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd.
"Hatta kalau PH masih pembangkang, mereka juga akan membantah. Ini terbukti tiga tahun lalu semasa debat Najib-Anwar.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak setuju syor Najib untuk bantu Sapura Energy. Dia mengesyorkan audit forensik," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Tambahnya, PAS dan Bersatu yang ketika itu juga tidak bersetuju kerana membisu kini menggunakan debat Najib-Anwar tersebut untuk mengecam tindakan pusingan U Perdana Menteri.
"Kalau tiga tahun dahulu syor Datuk Seri Najib Razak ini diterima, mungkin aset, telaga minyak Sapura di luar negara dan saham dalam Sapura-OMV tidak terjual. Itu membantu Sapura bangkit semula.
"Apa pun suntikan dana pinjaman RM1.1 bilion kepada Sapura Energy perlu diteruskan. Sepatutnya mereka yang mengelirukan fakta ekonomi boleh dianggap penjenayah ekonomi dan didakwa. Malangnya, Malaysia tidak ada akta khusus mengenainya," ujarnya.
0 Ulasan