![]() |
Gambar: FB Anwar Ibrahim |
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan bahawa DAP bakal menerima nasib yang sama seperti MCA apabila rakyat semakin melihat wajah sebenar parti itu selepas menjadi kerajaan.
Menurut beliau, kelemahan DAP kini lebih mudah dikesan setelah mereka berada dalam kerajaan dan ia boleh menyebabkan parti itu merudum seperti MCA dan Gerakan.
“DAP sekarang adalah parti kerajaan. Rakyat mula nampak kebolehan atau prestasi mereka. Kelemahan mereka juga semakin mudah dikesan. Cakap serupa bikin atau tidak?
“Sebab itu DAP boleh senasib dengan MCA. Ia juga akan merudum. Ini telah berlaku pada Gerakan. Rakyat mula nampak wajah sebenar parti itu sejak ia berkuasa di Pulau Pinang. Gerakan kini hidup segan mati tak mahu,” katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.
Mohd Puad turut mengulas pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang menyaksikan kedudukan beberapa pemimpin utama parti itu merosot, termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke serta Penasihatnya, Lim Guan Eng.
“Kelemahan DAP bukan sahaja dinilai oleh rakyat tetapi oleh ahli partinya. Ini jelas dalam pemilihan CEC DAP semalam. Ranking kedua pihak yang berseteru merosot.
"Anthony Loke dan Lim Guan Eng sama-sama merosot. Teresa Kok kalah terus. Dinasti keluarga Lim juga akan pupus.
“Itu cabaran jadi parti pemerintah. Ahli parti sendiri akan nampak hipokrasi pemimpinnya. Sebab itu sebelum jadi kerajaan jangan cakap besar,” katanya.
0 Ulasan