Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, siasatan dan pemerhatian yang teliti akan mendapati bahawa mereka yang memfitnah Rasulullah SAW sebenarnya terdiri daripada kalangan yang runtuh moralnya sendiri, bersifat jahil dan fasik, serta mengejar kebendaan dan pangkat.
Bahkan, menurut beliau, dalam kalangan mereka terdapat individu yang kufur dan munafik.
Abdul Hadi menambah, jika dikaji secara ilmiah dan berfakta, jelas bahawa takrif kronisme dan nepotisme tidak bertepatan dengan peribadi Rasulullah SAW, yang telah dipilih oleh Allah dan dipuji akhlaknya.
"Hal ini demikian kerana, Rasulullah SAW sentiasa berada dalam bimbingan wahyu dan baginda juga mendidik ahli keluarganya untuk banyak berkorban dalam menghadapi kesusahan hidup.
"Apabila ahli keluarganya meminta lebihan harta untuk menikmati kemewahan dunia, Allah SWT telah berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيۡنَ أُمَتِّعۡكُنَّ وَأُسَرِّحۡكُنَّ سَرَاحٗا جَمِيلٗا ٢٨ وَإِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَ فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلۡمُحۡسِنَٰتِ مِنكُنَّ أَجۡرًا عَظِيمٗا ٢٩
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, ‘Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan kepadamu mutaah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. (28) Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi sesiapa yang berbuat baik antaramu pahala yang besar.’ (29)” [Surah al-Ahzab: 28-29].
"Apabila cucu Rasullullah SAW mengunyah buah kurma daripada hasil zakat, dengan marah Baginda SAW mengeluarkan kurma daripada mulut cucunya, kerana diharamkan walau sedikit pun harta zakat kepada keluarganya.
"Malah, baginda SAW sendiri juga hidup dalam keadaan miskin kerana menyumbangkan hartanya untuk membantu rakyat," katanya dalam Minda Presiden PAS semalam.
Beliau berkata, mereka yang menuduh Rasulullah SAW dengan tuduhan sedemikian sebenarnya menentang Allah dan boleh dipertikaikan keimanannya.
"Hal ini demikian kerana, Allah mewajibkan manusia mengambil teladan daripada Rasulullah SAW:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١
“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [Surah al-Ahzab: 21]," jelasnya.
Abdul Hadi berkata, Rasulullah SAW tidak boleh dibandingkan dengan manusia lain, bahkan generasi keluarga dan para sahabatnya yang beriman juga tidak boleh disamakan dengan generasi kemudian.
Menurut beliau, Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa secupak makanan yang disumbangkan oleh para sahabat pada zaman awal Islam lebih besar pahalanya di sisi Allah, berbanding sumbangan emas sebesar bukit oleh generasi kemudian.
"Maka, sesiapa yang mempertikaikan sifat mulia yang wajib dimiliki oleh para rasul sebenarnya mencabar Allah dan menghina para rasul-Nya yang wajib bersifat benar (siddiq), amanah, tabligh (menyampaikan), dan bijaksana (fatanah).
"Malah, baginda SAW terpelihara daripada sebarang sifat buruk dengan pengawalan wahyu daripada Allah SWT," katanya.
0 Ulasan