Pemilik akaun Facebook, Ainon Mohd, akhirnya memohon maaf selepas menerima teguran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung hantaran yang mencemar kemuliaan Nabi Muhammad SAW.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga seorang penerbit buku dan penulis mengakui kesilapannya dan menyatakan komitmen untuk lebih berhati-hati dalam penulisan berkaitan Islam.
“Saya, Ainon Mohd, dengan penuh rasa hormat menerima teguran dan pandangan yang telah disampaikan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam pertemuan yang berlangsung hari ini.
"Saya juga akur dengan nasihat yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam perkara ini.
“Sehubungan dengan itu, saya telah menurunkan hantaran berkenaan dari platform media sosial dan ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.
"Saya memahami kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan berkaitan Islam dan akan memastikan rujukan dibuat kepada pihak yang berautoriti sebelum menerbitkan sebarang penulisan di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Sebelum ini, hantaran Ainon yang mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan amalam kronisme dan nepotisme dikecam hebat oleh umat Islam di seluruh negara.
Ainon turut memberi jaminan bahawa beberapa langkah akan diambil bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Saya juga memberi komitmen kepada pihak berkuasa untuk memperkemas dan memperhalusi polisi penerbitan di media sosial, merujuk pakar bidang dalam isu-isu sensitif berkaitan Nabi, menurunkan kandungan media sosial lain yang boleh dianggap sensitif serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa atas apa-apa isu berbangkit sebelum ini.
“Saya menghormati usaha JAKIM dalam memelihara kesucian agama Islam dan menjunjung tinggi kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sebagai seorang yang bergiat dalam bidang penerbitan, saya sentiasa menyokong usaha dakwah dan pendidikan yang membina kefahaman Islam dengan penuh adab dan tanggungjawab.
“Saya berjanji akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan dan perkongsian di masa akan datang serta sentiasa merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama.
"Sekali lagi, saya memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan menghargai teguran serta nasihat yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, JAKIM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa pihaknya telah menggesa Ainon untuk menurunkan hantaran tersebut serta menasihatinya agar lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang kandungan berkaitan Islam.
“JAKIM telah membuat teguran dan menggesa beliau menurunkan kenyataan tersebut seterusnya menasihati agar berhati-hati dalam memuat naik apa-apa kandungan berunsur Islam serta merujuk kepada pihak berautoriti bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
“Beliau bersetuju agar hantaran berkenaan diturunkan daripada media sosial dengan mengemukakan permohonan maaf serta berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan yang dihasilkan,” jelasnya.
Sehubungan itu, JAKIM menyeru semua pihak agar tidak mencetuskan kekeliruan serta kegelisahan awam dengan menimbulkan perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan baginda Nabi Muhammad SAW serta mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.
“JAKIM menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh para pemain industri penerbitan buku di Malaysia dalam memandaikan umat melalui medium tersebut dan sebagai salah satu medium dakwah.
“Walau bagaimanapun, JAKIM berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat sandaran kepada baginda Nabi Muhammad SAW demi menjaga kesucian nama serta martabat baginda sebagai utusan Allah SWT,” katanya.
0 Ulasan