Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa wujud kepincangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang pernah menganggotai Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) bagi memantau perjalanan SPRM berkata, terdapat beberapa perkara yang menimbulkan persoalan dalam proses siasatan tersebut.
“Siasatan belum selesai tetapi Ismail Sabri telah awal-awal lagi dianggap suspek.
“Kalau suspek bermakna SPRM telah menangkap Ismail Sabri. Tetapi Ismail Sabri belum lagi ditahan.
“Orang yang dipanggil untuk siasatan digelar OYDS iaitu orang yang disaman bukan ditangkap. Jika SPRM berkata kepada Ismail Sabri anda ditangkap maka barulah Ismail Sabri dipanggil suspek. Apabila dituduh di Mahkamah maka dipanggil OKT orang kena tuduh,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau turut mempersoalkan tindakan SPRM yang mendedahkan bahan bukti kepada media walaupun siasatan belum selesai.
“Pendedahan bahan bukti atau evidence lazimnya dibuat ketika perbicaraan. Tetapi dalam kes Ismail Sabri ini siasatan belum selesai tetapi bahan bukti telah dipamerkan dalam press conference. Apa tujuannya?
“Investigation papers atau kertas siasatan belum lagi SPRM hantar ke Pejabat Pendakwa Raya. Tetapi Ismail Sabri telah dibicarakan di media massa dan media sosial. Apa tujuannya?
“Inikah modus operandi baru? Bukan trial in court of justice tetapi trial by media oleh government agency?” katanya.
Tambahnya, beliau tetap menyokong usaha kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi rasuah serta yakin dengan keupayaan SPRM melaksanakan tugasnya secara profesional.
“Saya menyokong penuh usaha Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memerangi rasuah.
“Dalam nafas yang sama sebagai Ahli Parlimen yang pernah menduduki JKMR saya penuh yakin atas keupayaan SPRM untuk melaksanakan tugasnya secara profesional.
“Tetapi dalam penyiasatan yang dijalankan oleh SPRM ke atas Datuk Seri Ismail Sabri sekarang ini terserlah kepincangan yang nyata yang melanggar etika profesional sebuah agensi penguatkuasa,” katanya.
Sehubungan itu, Hassan berharap SPRM kekal fokus dalam bidang kuasa siasatan dan tidak terbawa-bawa hingga melaksanakan pendakwaan yang merupakan tugas Pejabat Peguam Negara.
“Saya berharap dalam usaha kita semua termasuk SPRM untuk membanteras rasuah maka SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasa yang bidang tugasnya untuk melakukan siasatan sahaja jangan terbawa-bawa untuk melaksanakan pendakwaan pula yang terletak di bawah bidang kuasa Pendakwa Raya,” katanya.
0 Ulasan