Kehebatan Islam dilemahkan oleh PH - Abdul Hadi

 


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, kehebatan Islam di negara ini semakin dilemahkan sejak Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.

Beliau berkata, meskipun Islam telah diiktiraf sebagai agama Persekutuan sejak negara mencapai kemerdekaan, kedudukannya tidak diperkukuhkan, sebaliknya dilemahkan oleh pengaruh demokrasi liberal yang semakin berleluasa.  

"Akibat tidak melakukan perubahan mengenai kedudukan Islam yang berdaulat, sebaliknya membenarkan demokrasi liberal berkuasa melakukan penentangan terhadap Islam dan umatnya. 

"Malah, dilemahkan lagi oleh kefahaman politik yang lemah dalam kalangan Melayu Islam, sehingga PRU15 yang lalu menubuhkan sebuah kerajaan dominasi kumpulan liberal,"  katanya dalam Minda Presiden PAS hari ini.  

Abdul Hadi turut menuduh DAP sebagai parti yang cuba meminggirkan Islam dan kuasa umat Islam dalam perjuangannya.  

Menurutnya, kedudukan ekonomi negara yang kini dikuasai oleh bukan Islam, sistem pendidikan yang melemahkan umat Islam serta strategi politik yang dirancang untuk merampas kuasa Islam adalah antara cabaran besar yang dihadapi ketika ini.  

"Inilah bentuk Kerajaan Pakatan Harapan yang dapat disaksikan telah melemahkan kehebatan Islam, sehingga keluarnya kenyataan dan tindakan yang berani menghina Islam yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya. 

Beliau menegaskan bahawa meskipun orang Melayu Islam masih merupakan kelompok majoriti dalam negara, kuasa politik mereka semakin terhakis akibat pengaruh kebendaan dan kepentingan pangkat yang mengatasi kepentingan agama.  

"Penyakit mabuk terhadap harta dunia serta pangkat dengan nafsu yang membelakangi iman dan Islam, menjadikan umat Islam semakin lemah dihanyutkan dan dibeli oleh musuh-musuh dengan pemberian rasuah dan dibuli pemikirannya dari dalam dan luar negara," jelasnya. 

Abdul Hadi turut mengkritik tindakan pihak berkuasa agama yang menurutnya lebih memberi tumpuan kepada mengawal pendakwah dan khutbah Jumaat berbanding bertindak terhadap pihak yang menghina Islam.  

"Amat memalukan, apabila kita meneruskan kerja penjajah dengan menugaskan pentadbiran berjenama jabatan agama Islam negeri untuk mengawal dan mengawasi guru-guru agama, pendakwah dan khutbah Jumaat. 

"Bukannya hendak bertindak terhadap mereka yang telah menghina Islam," katanya.

BACA LAGI

MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan