Sistem komputer KLIA digodam, tuntutan RM10 juta ditolak

Gambar hiasan: Khanh Nguyen / Pexels

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesan ancaman keselamatan siber yang menjejaskan beberapa sistem komputer di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Mac lalu.  

Berikutan insiden itu, satu siasatan menyeluruh segera dilancarkan bagi menilai punca dan skala gangguan tersebut, selain pihak berkuasa berkaitan seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut dimaklumkan.  

Ketua Eksekutif NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, pihaknya telah mengikuti perkembangan tersebut dengan teliti sejak menerima laporan Malaysia Airports pada 23 Mac. 

"Kami memahami bahawa operasi di KLIA tidak terjejas dan akan terus memantau situasi serta menyokong Malaysia Airports," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani pula menegaskan bahawa pihaknya memberi keutamaan kepada kelancaran operasi lapangan terbang.  

“Malaysia Airports memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa mengekalkan operasi lapangan terbang tetap menjadi fokus utama kami. 

"Kami bekerjasama dengan rakan kongsi lapangan terbang untuk memastikan operasi penerbangan dan pemprosesan penumpang berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata, keselamatan, sekuriti dan integriti sistem lapangan terbang adalah keutamaan tertinggi ketika ini.  

“Pasukan teknikal dan operasi secara aktif memantau situasi dan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan untuk melindungi infrastruktur serta memastikan pengalaman penumpang tidak terganggu,” ujarnya.  

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa sistem MAHB digodam dengan tuntutan AS$10 juta namun permintaan tuntutan itu ditolak.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan