Teresa Kok terkejut bekas kakitangannya ditahan SPRM

 

Gambar: Facebook

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terkejut apabila mengetahui dua bekas kakitangannya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan salah seorang daripada mereka yang direman sehingga Ahad ini.  

Dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi, Teresa berkata, beliau dimaklumkan bahawa bekas kakitangannya, Edmund Teoh Keng Yaik dan Ng Yoot Kuen telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberikan keterangan.

Pemimpin kanan DAP itu mendakwa, siasatan itu dipercayai ada kaitan dengan ucapannya di Parlimen sebelum ini mengenai permohonan  papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.  

Teresa tidak menyangka ucapan yang dibuatnya pada 14 November 2024 untuk menuntut ketelusan dalam perolehan papan pintar itu akan membawa kepada siasatan terhadap dua individu berkenaan.  

Beliau juga menyatakan, ucapan itu tidak bertujuan menyerang mana-mana individu atau jabatan.

“Saya lebih terkejut apabila dimaklumkan bahawa Edmund Teoh telah ditahan reman oleh SPRM sehingga Ahad ini. 

"Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau penglibatan dalam keputusan SPRM untuk menahannya, dan perkara ini di luar kawalan saya,” katanya.  

Teresa turut menyifatkan tindakan pihak tertentu, termasuk ahli-ahli partinya sendiri serta keluarga bekas kakitangannya, yang menyalahkan beliau atas siasatan SPRM itu sebagai sesuatu yang mengecewakan.  

Beliau menegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah badan bebas dan menjalankan siasatan tanpa campur tangan mana-mana pihak, termasuk dirinya.  

“Saya menyeru semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau tuduhan tidak berasas terhadap saya. 

"Kita perlu menghormati undang-undang dan membiarkan siasatan berjalan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan