![]() |
Gambar: FB Anwar Ibrahim |
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ASEAN tidak gentar dan tidak akan berpecah-belah ekoran tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap negara-negara lain.
Menurut beliau, ASEAN merupakan sebuah rantau yang kuat dan bersatu, malah kekal komited terhadap kerjasama serantau walaupun berdepan cabaran perlindungan perdagangan global.
“ASEAN merupakan sebuah rantau yang kuat dan bersatu. Komitmen kita kepada kerjasama ASEAN tidak pernah goyah. Semangat kolektif serantau ternyata sumber kekuatan utama yang mesti dimanfaatkan secara agresif.
“Ekonomi rantau ASEAN kekal stabil meski dibadai ketidaktentuan global. Dasar perlindungan perdagangan AS mutakhir ini merupakan cabaran yang dihalakan ke arah kita.
“Seperti yang telah saya tegaskan, kita memilih jalan rundingan yang adil, damai serta saksama, bukannya perseteruan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, Malaysia tidak akan bertindak terburu-buru dalam menangani situasi tersebut, sebaliknya akan berpegang kepada prinsip dan nilai ASEAN.
“Sementalahan, Malaysia tidak akan tergesa-gesa mengenakan tindakan balas yang boleh merugikan semua pihak dan menempiaskan dampak yang lebih parah.
“Sebaliknya, pendirian ASEAN jelas yakni berpegang teguh pada prinsip perdagangan bebas yang adil dan mengutamakan budaya dialog dan wacana yang segar dan sihat dalam menyelesaikan sebarang pertikaian,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau telah berunding dengan pemimpin serantau lain bagi memastikan tindak balas terhadap cabaran tersebut dilakukan secara kolektif dan teratur.
“Keadaan kini jauh berbeza ketimbang era kemelut ekonomi Asia 97-98. Pada ketika itu, ekonomi serantau rapuh dan mudah terjejas. Kini, asas ekonomi ASEAN jauh lebih kukuh dengan kerjasama serantau yang lebih erat,” jelasnya.
Tambah beliau, pengalaman lalu menjadikan rantau ini lebih bersedia dan berhati-hati mendepani cabaran ekonomi dunia.
“Kita telah membina ketahanan ekonomi yang tinggi melalui dasar fiskal dan kewangan yang berhemah.
0 Ulasan