![]() |
Gambar: FB Zahid Hamidi |
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin BN mempunyai kelebihan tersendiri untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 April ini.
Menurut beliau, keyakinan itu bersandarkan semangat jentera parti dan legasi khidmat cemerlang yang ditinggalkan bekas penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Selesai Mesyuarat Jawatankuasa Induk PRK N.48 Ayer Kuning, saya bergerak ke Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Hj. Tahir, Temoh, Perak bagi menyempurnakan Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRK N.48 Ayer Kuning, Perak.
“Dibanjiri lautan biru barisan jentera BN yang penuh semangat, azam, dan keyakinan, saya menyaksikan satu tekad yang luar biasa untuk memastikan kemenangan BN di Ayer Kuning sekali lagi!
“Saya yakin, BN mempunyai kelebihan tersendiri, hasil daripada kerja kuat dan khidmat cemerlang Almarhum YB Ishsam Shahruddin, yang terkenal sebagai wakil rakyat yang disenangi penduduk setempat. Legasi ini adalah kekuatan yang perlu dikekalkan dan terus dihidupkan dalam kempen PRK kali ini,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Ahmad Zahid menambah, bagi meneruskan kecemerlangan tersebut, kepimpinan BN sebulat suara memilih Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Ustaz Yusri Bakir sebagai calon BN di DUN Ayer Kuning.
“Memandangkan DUN Ayer Kuning mempunyai komposisi kepelbagaian kaum, saya telah menyeru seluruh pasukan jentera untuk bergerak dengan lebih inklusif dengan melaksanakan kempen yang kreatif, mesej yang mesra, dan pendekatan yang dekat di hati rakyat,” ujarnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang turut membantu memperkukuh kempen BN menjelang PRK kali ini.
“Saya turut menghargai sokongan rakan-rakan dari komponen Kerajaan Perpaduan, yang komited membantu usaha mendekati penyokong mereka untuk memberikan sokongan kepada calon BN.
“Kerjasama seperti ini bukan sahaja dapat mengukuhkan jentera, malah dapat memberi keyakinan kepada pengundi terhadap calon BN,” katanya.
Ahmad Zahid turut meniupkan semangat kepada jentera BN untuk turun berkempen dengan penuh komitmen.
“Ayuh seluruh jentera BN, kita bulatkan tekad, kita turun padang dengan satu misi, satu suara, dan satu hati. Kita pertahankan maruah parti, kita buktikan nilai khidmat, dan kita menangkan Ayer Kuning untuk rakyat. Insya-Allah,” katanya.
0 Ulasan